Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Lelaki warga emas yang melecur pada bahagian kaki dan belakang badan dalam kebakaran yang mengorbankan nyawa isterinya pada Isnin lalu, meninggal dunia selepas tiga hari bertarung nyawa.

Jusoh Muda, 82, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, 6.31 pagi ini.

Anak mangsa, Zakaria, 56, berkata, jenazah bapanya dijangka akan dikebumikan sebelum solat Zohor.

"Jenazah ayah masih berada di hospital dan akan dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan arwah ibu iaitu di Tanah Perkuburan Islam Makam Lama Chabang Tiga di sini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md Hilman Ab Rashid berkata, mangsa meninggal ketika menerima rawatan lanjut di HSNZ.

Katanya, mangsa melecur kira-kira 50 peratus pada bahagian kaki dan badan.

"Susulan kecederaan yang dialami itu, mangsa disahkan meninggal dunia pada pagi tadi," katanya.

Dalam kejadian jam 10.35 pagi Isnin lalu, warga emas, Fatimah Mohd, 79, maut manakala suaminya melecur dalam kebakaran membabitkan tiga buah rumah di Kampung Losong Haji Su, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 8:31 AM