Neelofa dan PU Riz. Foto NSTP
Neelofa dan PU Riz. Foto NSTP
BERNAMA

Nilai: Kertas siasatan berhubung dakwaan rentas negeri usahawan dan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail sudah diserah kepada Pejabat Peguam Negara semalam untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman menerusi satu kenyataan berkata, kertas siasatan itu dihantar pada 2.30 petang.

"Berhubung isu pergerakan rentas negeri ke Nilai, kertas siasatan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan berkaitan dengan perkara itu selaras Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Dua hari lalu, Muhammad Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz didakwa atas dua pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3 pada 2 Mei lalu.

Neelofa pula didakwa tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Pasangan itu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, mengaku tidak bersalah dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 9:14 PM