NEELOFA dipimpin Muhammad Haris ketika menuruni tangga kompleks mahkamah, hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
NEELOFA dipimpin Muhammad Haris ketika menuruni tangga kompleks mahkamah, hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, mengekalkan keputusan melepas tanpa membebaskan selebriti dan usahawan, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail atas pertuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah premis permaidani di Nilai, Mei lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh membuat keputusan itu selepas mengambil kira hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan sepanjang prosiding berlangsung.

Sebelum itu, pihak pembelaan diketuai peguam kanan, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah memohon status anak guamnya ditukar daripada dilepaskan tanpa dibebaskan (DNNA) kepada dilepas dan dibebaskan (DNA).

Muhammad Shafee berkata, anak guamnya sudah menyelesaikan tiga set kompaun masing-masing berjumlah RM10,000 atas kesalahan terbabit yang dibayar pada 10 Disember lalu.

"Kes ini dianggap selesai kerana tiada sebutan semula selain kompaun sudah dibayar dan pihak pendakwaan sendiri menawarkan kompaun," katanya.

Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang, 2 Mei lalu.

Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling.

Pada perbicaraan 30 November lalu, pendakwaan menarik balik semua pertuduhan dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh berkenaan.

Terdahulu, Neelofa dan Muhammad Haris tiba di Kompleks Mahkamah Seremban pada 2.40 petang.

Neelofa yang mengenakan jubah berwarna oren lembut dan Muhammad Haris berbaju putih seluar hitam memasuki pintu pengawal kompleks dengan mengikut SOP ditetapkan.

Mereka kemudian menuju ke kamar bicara sambil diiringi Muhammad Shafie dan beberapa peguam bela yang lain.

Neelofa ketika dihampiri pemberita bagi mengulas mengenai keputusan hari ini hanya menggelengkan kepala sebagai tanda tidak mahu memberikan sebarang kenyataan.

Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Mereka berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 5:38 PM