Mohd Amin Jalil


Seremban: Pengurusan sebutan semula kes selebriti dan usahawan, Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Ismail yang berdepan tuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPD) di sebuah kedai karpet di Nilai, ditetapkan pada 1 Disember depan.

Peguam bela pasangan berkenaan, Wan Aizudin Wan Mohamed berkata, tarikh itu ditetapkan oleh mahkamah selepas prosiding pengurusan kes hari ini.

Katanya, penetapan itu dibuat oleh mahkamah selepas pihaknya menyerahkan dokumen representasi kepada pihak pendakwaan, di mahkamah, hari ini.

"Hari ini, kita maklumkan kepada pihak mahkamah bahawa kita juga sudah hantar satu salinan surat representasi berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara semalam.

"Kami memohon kepada Peguam Negara untuk menggunakan budi bicara menarik balik pertuduhan terhadap anak guam kami.

"Ini kerana kami merasakan pertuduhan yang dibawa terhadap anak guam kami ini pada asasnya bukanlah suatu kesalahan di bawah kesalahan yang dituduh," katanya kepada pemberita di luar bilik mahkamah di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya diberikan sebulan untuk membuat persiapan pembelaan.

Katanya, pihaknya berharap akan mendapat maklum balas mengenai perkara ini daripada Jabatan Peguam Negara menjelang sebutan semula kes pada 1 Disember nanti.

"Pada 1 Disember nanti, pihak pendakwaan akan maklumkan mengenai surat representasi berkenaan, " katanya.

Pengurusan kes dikendalikan Majistret Mohd Firdaus Saleh manakala pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling.

NOOR Neelofa dan Muhammad Haris ketika hadir ke Mahkamah Majistret Seremban. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
NOOR Neelofa dan Muhammad Haris ketika hadir ke Mahkamah Majistret Seremban. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.

Terdahulu, Neelofa, 32, dan Muhammad Haris, 26, tiba di Kompleks Mahkamah Seremban pada jam 9 pagi.

Neelofa yang berjubah putih dan Muhammad Haris berbaju sut biru memasuki pintu pengawal kompleks dengan mengikut SOP ditetapkan.

Mereka kemudian menuju ke kamar bicara sambil diiringi peguam bela yang tiba lebih awal.

Namun peguam bela Tan Sri Muhammad Shafie Abdullah tidak dapat hadir kerana dimaklumkan beliau mempunyai pengendalian kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di pusat perniagaan Nilai 3, dekat sini, pada 2 Mei lalu.

Mereka berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang, 2 Mei lalu.

Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Kes pasangan terbabit tertangguh beberapa kali kerana sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 10:44 AM