Mohd Amin Jalil


Seremban: Selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suami hadir ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bagi sebutan semula kes pendakwaan atas pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika di sebuah kedai permaidani di Nilai, 2 Mei lalu.

Noor Neelofa, 32, dan Muhammad Haris Mohd Ismail, 26, tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban di Seremban 2, di sini, jam 8.40 pagi.

Turut kelihatan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 20 Mei lalu, pasangan selebriti itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual permaidani di Nilai 3 di sini, 2 Mei lalu.

Muhammad Haris didakwa atas dua kesalahan iaitu gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang, 2 Mei lalu.

Noor Neelofa pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis berkenaan atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Kedua-dua mereka dituduh di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 9:52 AM