Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Semangat menyalakan panjut bersaiz gergasi di Kampung Ribu, Padang Rengas, di sini, sempena malam tujuh likur, semalam kembali ceria selepas sambutan hambar pada tahun lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusi Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu, Amirruddin Mohd Lazim berkata, sambutan kali ini lebih meriah dengan kehadiran ratusan pengunjung luar bagi menyaksikan panjut setinggi sembilan meter dan selebar 14 meter.

Menurutnya, pelaksanaan PKPB tahun lalu menyebabkan konsep pertandingan rumah ke rumah diguna pakai.

Katanya, tiada pertandingan dibuat untuk kali ini memandangkan penduduk memilih untuk bergotong-royong mendirikan panjut gergasi terbabit.

"Sambutan pada tahun lalu boleh dikatakan agak suram, namun tahun ini kami bersyukur kerana tradisi nyalaan panjut gergasi yang dimulakan sejak 2014 mendapat permit polis dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Biarpun tidak semeriah tahun sebelum 2020 dengan pengisian pelbagai aktiviti lain, namun kedatangan pengunjung luar yang bertali arus untuk bergambar menunjukkan 'kekuatan' kampung ini," katanya ketika ditemui, di sini.

Kelihatan lebih 2000 pelita digunakan untuk mendirikan panjut gergasi yang bertemakan Masjid Selat Melaka menghiasi di Kampung Ribu yang menjadi tradisi saban tahun sempena kedatangan Syawal ketika tinjauan. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Kelihatan lebih 2000 pelita digunakan untuk mendirikan panjut gergasi yang bertemakan Masjid Selat Melaka menghiasi di Kampung Ribu yang menjadi tradisi saban tahun sempena kedatangan Syawal ketika tinjauan. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderoh Datuk Zainun Mat Noor.

Menurutnya, tempoh tiga bulan digunakan untuk mendirikan pelantar panjut gergasi berkenaan membabitkan aras empat tingkat dan hampir sepenuhnya dibina daripada buluh bagi menempatkan kira-kira 1,800 pelita tin jenis minyak tanah.

Katanya, tema panjut kali ini menginspirasikan Masjid Selat Melaka dengan kesemua kerja-kerja pembuatannya dilakukan pada waktu malam selepas solat tarawih hingga tengah malam.

"Kita menerima banyak permintaan melalui media sosial agar pertunjukan panjut kali ini dibuat secara berulang, namun kekangan peningkatan kes jangkitan Covid-19 membantutkan usaha itu.

"Sudah menjadi amalan sebelum ini panjut dinyalakan pada tiga malam iaitu tujuh likur, malam 1 Syawal dan malam sambutan Aidilfitri, namun perkembangan terkini kes Covid-19 menyebabkan hanya pada malam ini (tujuh likur) sahaja panjut gergasi ini dinyalakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 1:19 PM