Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


SEMANGAT menghidupkan 'tujuh likur' pada malam 27 Ramadan dengan cahaya pelita atau panjut terus segar dalam kalangan penduduk Kampung Ribu, Padang Rengas di Kuala Kangsar walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuat kuasakan.

Pengerusi Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu, Amirruddin Mohd Lazim berkata, inisiatif pada tahun ini menumpukan kepada pertandingan untuk mengimbau kembali kemeriahan tradisi itu.

Katanya, walaupun hanya mampu menarik 10 penyertaan sahaja, namun ia masih meriah apabila terdapat rumah lain turut memasang pelita meskipun tidak menyertai pertandingan.

"Tiada sebarang tema ditetapkan tahun ini dan setiap penyertaan hanya daripada kalangan ahli keluarga di sesebuah rumah selain tidak membabitkan penyertaan ramai atau secara berkumpulan.

Struktur panjut lain yang menghiasi perkarangan rumah keluarga Nur Hidayah Mohd Sabri, 20 yang menghiasi perkarangan rumah mereka di Kampung Ribu, di sini sempena sambutan malam 'tujuh likur', baru-baru ini biarpun sewaktu penguatkuasaan PKPB. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Struktur panjut lain yang menghiasi perkarangan rumah keluarga Nur Hidayah Mohd Sabri, 20 yang menghiasi perkarangan rumah mereka di Kampung Ribu, di sini sempena sambutan malam 'tujuh likur', baru-baru ini biarpun sewaktu penguatkuasaan PKPB. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dikuat kuasa, penduduk sudah mengumpulkan bahan membuat panjut khususnya buluh," katanya.

Katanya, biarpun pertandingan dibuat di rumah sendiri, namun persatuan turut meminjamkan hampir 3,000 pelita kepada peserta.

"Alhamdulillah biarpun tidak semeriah seperti tahun sebelumnya, tradisi memasang pelita panjut di kampung ini masih dapat diteruskan walaupun semasa PKPB berjalan," katanya.

Sementara itu, peserta, Nur Hidayah Mohd Sabri, 20, berkata biarpun terkilan kerana sambutan 'tujuh likur' ini tidak semeriah seperti tahun sebelumnya, namun kerinduannya sedikit terubat.

Menurutnya, dia membantu bapanya, Sabri Mustafa, 49, mendirikan struktur bagi memasang panjut yang menghiasi rumah mereka menggunakan kira-kira 500 pelita dan 50 batang buluh.

"Ibu dan adik turut menolong ayah menyiapkan struktur panjut dalam tempoh lima hari. Biarpun penat, namun kami berpuas hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 8:36 PM