SUASANA meriah Malam Likur @ Dataran Merdeka.
SUASANA meriah Malam Likur @ Dataran Merdeka.
SUASANA meriah Malam Likur @ Dataran Merdeka.
SUASANA meriah Malam Likur @ Dataran Merdeka.
Suliati Asri


Liuk lentuk cahaya pelita ditiup angin sepoi-sepoi bahasa di halaman rumah menjelang raya cukup asyik dipandang.

Pemasangan pelita atau lebih dikenali dengan malam likur yang dipasang di laman rumah juga berfungsi sebagai cara menyambut kepulangan saudara-mara dan adik-beradik ke kampung menyambut lebaran bersama.

Namun, kemeriahan itu akan hanya dirasai di kampung. Bagi yang bermastautin di kota Kuala Lumpur, suasana itu pastinya sukar dirasai.

Sehubungan itu, bagi memberi peluang kepada warga kota dan pelancong asing merasai keceriaan malam likur, Biro Pelancongan Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan ‘Malam Likur @ Dataran Merdeka.’

Diadakan bermula 25 Jun hingga 5 Julai ini, program yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu antara inisiatif produk pelancongan ‘KL by Night” bertujuan mendedahkan pelancong dengan keindahan ibu negara pada waktu malam.

Menerusi Malam Likur @ Dataran Merdeka, kawasan Dataran Merdeka diterangi dengan cahaya 1,000 pelita untuk menceriakan suasana ibu kota menjelang 1 Syawal.

Ia menggunakan kebiasaanya masyarakat Melayu menyalakan pelita bagi memeriahkan suasana malam di Kuala Lumpur sebagai simbolik kegembiraan warga kota menyambut Aidilfitri di samping meraikan kedatangan pelancong ke Kuala Lumpur.

Lampu bangunan pencakar langit di sekeliling Dataran Merdeka menambahkan kemeriahan dan keindahan suasana makan di destinasi pelancongan popular Kuala Lumpur itu.

Namun, bagi menjaga persekitaran serta keselamatan pengunjung di kawasan Dataran Merdeka, 1,000 pelita yang dinyalakan menggunakan bateri dan waktu nyalaan dari jam 7 malam hingga 11 malam.

Justeru, bagi warga kota yang ingin merasai kemeriahan malam likur di tengah ibu kota, Malam Likur @ Dataran Merdeka lokasi paling sesuai untuk dikunjungi.

Untuk maklumat lanjut layari www.visitkl.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 12:16 PM