KEINDAHAN rumah Baharin dihiasi pelita pada hari ke-10 Ramadan hingga seminggu selepas menyambut 1 Syawal.
KEINDAHAN rumah Baharin dihiasi pelita pada hari ke-10 Ramadan hingga seminggu selepas menyambut 1 Syawal.
Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Sebuah keluarga di Kampung Parit Batu 23 di sini, cukup gembira dengan kehadiran Ramadan kerana mereka menganggapnya sebagai masa menambah ibadat serta meneruskan tradisi keluarga iaitu menerangi sekeliling rumah dengan cahaya pelita minyak tanah.

Baharin Abu Bakar, 63, berkata, kediaman pusaka dihuninya itu berusia lebih 100 tahun dan setiap kali Ramadan, dia sekeluarga memagari rumah dengan pelita.

“Ia bukan saja dipasang untuk menyambut Ramadan dan malam tujuh likur, tetapi juga bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri.

“Ketika ini, tidak banyak rumah diterangi cahaya pelita berikutan harga minyak tanah yang semakin mahal. Bagaimanapun, kami sekeluarga tidak kisah berbelanja lebih hanya untuk tempoh sebulan,” katanya.

Bagi keluarga Asri Ayuni Muhammad, 31, berasal dari Kampung Kayu Ara, keindahan Ramadan tidak lengkap jika tidak dihiasi cahaya pelita.

“Setiap tahun saya memasang pelita kerana anak gemar suasana meriah dan ceria. Ia dipasang di sepanjang jalan masuk ke rumah.

“Walaupun perlu menyediakan perbelanjaan tambahan RM50 untuk membeli diesel, tetapi saya puas hati melihat cahaya menerangi rumah,” katanya.

Menurut Asri Ayuni, dia sekeluarga memasang pelita bermula pada hari ke-10 Ramadan sehingga seminggu selepas menyambut Syawal.

“Tradisi memasang pelita ini diwarisi daripada generasi ke generasi. Jadi, saya mahu menerapkan amalan memasang pelita kepada aanak supaya mereka sentiasa mengenang kemeriahan sambutan Ramadan dan AIdilfitri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 10:23 AM