ANAK muda kampung meneruskan tradisi Jalan Daud. FOTO Adi Safri & Syarafiq Abd Samad.
ANAK muda kampung meneruskan tradisi Jalan Daud. FOTO Adi Safri & Syarafiq Abd Samad.
Nurul Husna Mahmud


SATU amalan tradisi di Mesir menerangi jalan-jalan di negara itu dengan memasang lantera atau lampu dipanggil ‘fanoos’ bermula pada 1 Ramadan.

Adat itu tidak pernah lupus sehingga hari ini apabila setiap pemilik rumah mahupun kejiranan di negara Tebing Barat itu akan mengutip duit bagi membeli lampu berkenaan setiap tahun yang mempunyai pelbagai bentuk serta warna.

Ada banyak pendapat dan cerita bagaimana budaya ini bermula. Ada yang mengatakan ia bermula sejak zaman Khalifah Fatimiyah di mana penduduk Kaherah ketika itu meraikan kedatangan Khalifah Keempat Al-Muizz li-Din Allah pada bulan Ramadan.

Sementara kisah lain yang popular dengan tradisi itu ialah mengenai Khalifah Era Fatimiyah Al Hakim Bi-Amr Illah yang mengarahkan semua sheikh masjid menggantung lilin bagi menerangi jalan-jalan di Kaherah ketika Ramadan.

Di Malaysia sendiri, budaya memasang lampu atau pelita juga menjadi satu perkara wajib satu ketika dulu. Apabila Ramadan mula mendekati Syawal, akan bermulalah pesta malam tujuh likur yang merujuk kepada tradisi memasang pelita atau panjut.

CERIA anak kampung mengisi masa lapang dengan kerja komuniti dijalankan setiap tahun.
CERIA anak kampung mengisi masa lapang dengan kerja komuniti dijalankan setiap tahun.

Biasanya ramai yang memilih pelita minyak tanah tin yang setia berkhidmat bertahun-tahun lamanya. Ada juga yang rajin membuat pelita minyak tanah sendiri daripada buluh. Tahun beredar, ramai yang membeli pelita minyak tanah daripada plastik yang beraneka warna.

Tidak kira apa jenis pelita atau panjut yang dipilih, suasana malam di kawasan yang memasang pelita minyak tanah ini memang berbeza. Ia umpama membawa semangat raya yang membuatkan sesiapa saja rasa teruja khususnya kanak-kanak.

Bagi orang dewasa, cahaya dari deretan pelita memudahkan perjalanan mereka ke rumah, kerana ramai yang pulang lewat dari masjid pada 10 malam terakhir Ramadan untuk meluangkan lebih banyak masa beribadat di rumah Allah.

Suasana malam tujuh likur kini kian pupus berbanding ketika era 80-an hingga 90-an apabila menjelang hari berkenaan pastinya kebanyakan penduduk terutama di kampung akan mula mencari buluh bagi memasang panjut.

Ketika malam ini jugalah menandakan persiapan raya dilakukan termasuklah aktiviti gotong-royong seperti mengacau dodol mahupun membuat wajik (pulut manis) mula rancak.

Manakala bagi anak kecil, pastinya sibuk bermain bunga api dan mercun. Tidak terkecuali ada anak muda berperang meriam buluh antara kampung dengan kampung lain.

Biarpun amalan itu semakin ditelan zaman kerana beranggapan ia satu bidaah, ada segelintir masih meneruskan tradisi itu kerana ia menyuntik aura kemeriahan sambutan Aidilfitri selain menerangi persekitaran kampung.

JADI TUMPUAN PELANCONG

Antara yang masih giat meneruskan sambutan malam tujuh likur ialah penduduk Jalan Daud, Muar sehinggakan menjadi perhatian bukan saja warga bandar diraja itu malah sekitar Johor sehinggalah Singapura yang sanggup ‘turun’ untuk merasai suasana malam tujuh likur di kawasan berkenaan.

Pengerusi Rukun Tetangga Jalan Daud, Amran Md Anis mengakui, penangan malam tujuh likur Jalan Daud membuatkan setiap malam pelita dihidupkan, padang awam kampung terbabit sesak dan dipenuhi orang luar membawa anak masing-masing untuk bermain bunga api.

“Bukan saja golongan dewasa, kanak-kanak juga sudah tahu rutin kampung pasti akan menyambut malam tujuh likur.

“Jadi apabila menjelang raya mahupun balik kampung, biasanya golongan yang sudah berkeluarga akan singgah membawa anak bermain bunga api di kampung.

“Biasanya orang luar lebih teruja datang dan tidak terkecuali pelancong asing bagi merasai kemeriahan menjelang raya kerana ketika inilah kanak-kanak rancak bermain bunga api.

“Ada yang datang dari Singapura mahupun Brunei kerana tahu setiap tahun kampung ini akan membuat pelbagai bentuk objek menggunakan panjut ketika malam tujuh likur,” katanya.

Mengenai tradisi itu yang sudah bermula sejak 1980-an lagi, kata Amran, kampung itu menerima semua lapisan pengunjung daripada golongan biasa sehinggalah tetamu penting termasuklah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang pernah menyaksikan sendiri kemeriahan malam tujuh likur di kampung berkenaan.

“Tradisi ini berjaya dipertahankan kerana ada pelapis yang mewarisi kemahiran mereka bentuk replika selain sanggup meneruskan kerja memasang dan mengutip pelita setiap tahun.

“Malah ramai penduduk berbilang bangsa yang bermurah hati memberi sumbangan kewangan bagi tujuan pengurusan dan penyediaan pelita termasuklah upah pekerja bagi memastikan tradisi ini berterusan.

“Penduduk Jalan Daud bersyukur kerana ada tokoh korporat dan wakil rakyat yang masih sudi menaja projek malam tujuh likur ini.

“Antara tokoh korporat yang berjasa juga berasal dari kampung ini ialah Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel yang menaja kerja komuniti ini,” katanya.

KREATIF hasil anak muda Jalan Daud.
KREATIF hasil anak muda Jalan Daud.

CIPTA REPLIKA UNIK

Tambah Amran, replika pernah dihasilkan termasuklah kereta ikonik negara iaitu Proton Saga, Menara Berkembar Petronas dan Kapal yang dinamakan Aminah milik Sultan Johor.

Sementara itu sukarelawan yang terbabit dalam projek malam tujuh likur Jalan Daud Nor Azhar, Nor Hisham menyifatkan cabaran terbesar buat kumpulan sukarelawan ialah mencari pelapis boleh meneruskan kerja-kerja menghasilkan replika.

“Proses menghasilkan replika itu sebenarnya paling mencabar. Lagi banyak bentuk melengkung, lagi susah untuk menghasilkan bingkai berkenaan.

“Replika Menara Berkembar Petronas paling mencabar kerana banyak perincian perlu dihasilkan. Untuk tiang, kami gunakan kayu atau buluh.

“Sebaiknya gunakan buluh bersaiz sederhana dan kecil kerana memudahkan ia ditanam selain tidak banyak tenaga digunakan. Maklumlah bulan puasa dan sukarelawan biasanya sekitar 10 atau 12 orang perlu lakukan banyak kerja.

“Bermula dengan memasang sumbu, mengisi minyak tanah, menggantung dan meletakkan sehinggalah kutip semula pelita pada tengah malam.

“Ia dilakukan bergotong-royong setiap hari dan jumlah pelita tidak pernah kurang daripada 1,000 untuk replika yang turut diletakkan di pagar sekitar padang awam ini,” katanya.

Menyentuh mengenai persiapan, kata Azhar, ia bergantung kepada rekaan replika yang mengambil masa sekitar satu hingga dua minggu menjelang hari ia mula dipasang.

“Bagi tahun ini saya jangkakan rekaan dipersetujui bersama 10 sukarelawan lain ialah beca ais krim dan ideanya orang lidi menolak beca berkenaan. Ia tidaklah sukar dan kami harap ia boleh dipasang lima hari sebelum raya,” katanya.

Menyentuh kepada komitmen setiap sukarelawan, katanya, semua yang menyertai adalah atas dasar minat dan sukarela selain mahu menggembirakan pengunjung yang datang setiap tahun ke lokasi berkenaan.

“Kalau ditanya kenapa ada anak muda turun menjayakan malam tujuh likur, jawapannya mudah. Mereka juga mahu meneruskan tradisi ini.

“Jadi saya sendiri belajar daripada generasi terdahulu antaranya Mohamed Hashim antara orang lama yang mahir dalam menghasilkan replika. Kepuasannya ialah apabila lihat hasil sebaik pelita dinyalakan serta riak orang ramai gembira membawa anak selain bergambar dengan kerja kami lakukan.

“Jadi harapan saya serta generasi sebelumnya tentu saja berharap setiap tahun pelita dan replika akan terus terpasang di padang ini dari tahun ke tahun,”katanya.

AMALAN gotong-royong diterapkan menerusi program malam tujuh likur Jalan Daud Muar.
AMALAN gotong-royong diterapkan menerusi program malam tujuh likur Jalan Daud Muar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 7:44 AM