KREATIF menghidupkan suasana.
KREATIF menghidupkan suasana.
HM Digital

Zaman serba moden ini, tidak ramai warga kota dan desa yang masih ingat kepada pelita panjut. Kalau di kampung dulu, pelita dinyalakan bagi menghidupkan tradisi masyarakat Melayu malam tujuh likur menjelang 1 Syawal.

Bagi yang kreatif, ruas buluh dipasang sumbu menggantikan pelita. Fungsinya masih sama, tetapi lebih tradisional berbanding pelita sedia ada. Selesai mengisi minyak tanah, sumbu pelita dihidupkan. Lazimnya, pada malam tujuh likur pelita akan disusun sepanjang jalan menghala masuk ke halaman atau disangkut pada tiang mengelilingi rumah.

Begitulah zaman kanak-kanak 30 tahun dulu. Bahang kemeriahan Syawal bermula dengan terangnya sinar pelita panjut di halaman rumah. Kini, tidak kira di kota atau desa, pelita panjut sudah berganti lampu kelip berwarna-warni. Adapun pelita di sekitar kediaman sudah berganti dengan simbahan cahaya mentol kecil.

Mengembalikan nostalgia lama, Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 4, Amir Fazlee, baru-baru ini menganjurkan Pertandingan Pelita Panjut, dengan tema Kembalikan Suasana Kampung.

Menurut Amir, pertandingan itu dianjurkan buat julung kali di kawasan berkenaan untuk menyemarakkan lagi suasana hari raya serta mendedahkan anak muda kepada tradisi lama yang kian dilupakan.

“Pertandingan ini adalah cetusan idea saya sendiri. Setiap kali saya membaca rencana berkaitan hari raya, memang hati mudah terpaut pada gambar pelita panjut. Banyak kenangan zaman manis sepanjang kita membesar di kampung dulu.

“Anak muda hari ini tidak dapat merasa bagaimana seronoknya memasang dan menyusun pelita panjut menjelang hari raya. Ketika inilah sebenarnya semangat kerjasama dipupuk, jalinan ukhuwah dipererat dan silaturahim sesama keluarga serta jiran diperkukuh,” katanya.

Jelas Amir, pertandingan berkenaan terbuka kepada kawasan rukun tetangga (KRT) dan jawatankuasa penduduk (JKP) Zon 4. Biarpun 10 kumpulan terawal mendaftar, namun cuma enam yang sempat menyiapkan tugasan.

“Kita berbangga apabila kumpulan terbabit berjaya menzahirkan kreativiti binaan pelita panjut dalam masa hanya empat hari termasuk hari pendaftaran dan pengadilan.

“Enam kumpulan yang mengambil bahagian adalah KRT Fasa 9A Taman Sri Gombak (TSG), KRT Fasa 4 TSG; Task Force 101 (mewakili kejiranan fasa 1 TSG), KRT Fasa 10 TSG, KRT Flat Pinggiran Batu Caves dan kejiranan 9/27 Fasa 9 TSG.

“Memandangkan ini adalah percubaan pertama kita untuk melihat sambutan penduduk, kriteria penyertaan dan pemarkahan tidaklah ketat. Kita melihat kepada kerjasama ahli kumpulan, cetusan suasana halaman rumah kampung, kemeriahan yang diwujudkan ketika hari penjurian dan kreativiti mereka melakukan gimik tertentu,” katanya.

Empat juri dari luar Zon 4 dilantik untuk menilai, sementara Amir bertindak sebagai pemerhati. KRT Fasa 9A bagaimanapun dipilih sebagai pemenang tempat pertama, diikuti KRT Fasa 10 (kedua) dan Kejiranan 9/27 ( ketiga). Sijil diberikan untuk setiap penyertaan, selain trofi, hamper dan wang tunai.

“Alhamdulillah, sambutan menggalakkan. Namun, atas faktor masa yang terhad menyebabkan empat kumpulan menarik diri. Ada pasukan yang begitu serius melakukan persediaan walaupun sudah dimaklumkan pertandingan itu sekadar percubaan pertama dan bersifat santai. Ternyata mereka memang mahu mengembalikan suasana meriah menyambut hari raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 10:57 AM