Antara surat dokumen rentas negeri disyaki palsu  untuk digunakan bagi pelepasan rentas negeri dirampas polis selepas menahan seorang wanita bersama anak saudaranya di hadapan restoran makanan segera di Jalan P  Ramlee.  FOTO IHSAN PDRM
Antara surat dokumen rentas negeri disyaki palsu untuk digunakan bagi pelepasan rentas negeri dirampas polis selepas menahan seorang wanita bersama anak saudaranya di hadapan restoran makanan segera di Jalan P Ramlee. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tindakan seorang wanita bersama anak saudaranya memalsukan surat rentas negeri kononnya dikeluarkan Istana Negara mengundang padah apabila ditahan polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata, suspek berusia 27 dan 47 tahun ditahan anggota polis Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi Kuala Lumpur yang membuat rondaan bermotosikal di hadapan restoran makanan segera di Jalan P Ramlee, pada 10.30 malam.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dijalankan, wanita terbabit menyerahkan tiga keping surat dokumen rentas negeri disyaki palsu untuk digunakan bagi pelepasan rentas negeri.

"Surat itu menggunakan kepala surat atas nama Istana Negara, Jalan Tunku Abdul Rahman yang mana surat itu menjelaskan kebenaran daripada Yang Dipertuan Agong.

"Berdasarkan keterangan suspek, dia ingin pulang ke Pahang bagi mendapatkan sumbangan untuk Yayasan Pahang.

"Tangkapan dilakukan dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata, suspek direman tiga hari bermula semalam.

"Rekod jenayah ke atas wanita terbabit mendapati dia pernah disiasat mengikut Seksyen 489(C) Kanun Keseksaan dan 420 Kanun Keseksaan pada 2017 dan 2018.

"Semakan juga kita percaya dia menggunakan gelaran datuk palsu dan anak saudaranya juga bertindak sebagai pembantunya," katanya.

Beliau berkata, Polis Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan pergerakan rentas sempadan negeri menggunakan Borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan oleh polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 3:10 PM