Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Polis berjaya mematahkan satu sindiket pemalsuan kad kredit membabitkan akaun bank luar negara dengan tertangkapnya tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 26 hingga 33 tahun, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa berkata, kejayaan itu ekoran serbuan yang dijalankan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Kormersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, terhadap sebuah pangsapuri di Batu 9, Cheras dan berjaya menahan dua suspek.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan mendapati terdapat sebanyak 109 kad kredit palsu dan peralatan yang disyaki digunakan untuk melakukan aktiviti pemalsuan kad kredit.

"Hasil daripada penahanan dua suspek itu, membawa kepada penahanan seorang lagi suspek di premis menjual telefon bimbit di Jalan Bukit Bintang.

"Semua suspek ditahan reman sehingga 17 januari ini untuk siasatan lanjut,"katanya pada sidang media di IPD Dang Wangi, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 4:43 PM