Khairul Najib Asarulah Khan


SEORANG lelaki mendakwa mengalami gangguan halusinasi menyebabkan dia melarikan ambulans milik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, kejadian berlaku 12.10 tengah malam di hadapan Jabatan Kecemasan HKL.

Katanya, polis menerima laporan 12.15 tengah malam sebelum Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ke lokasi kejadian.

“Dalam masa yang sama, kakitangan HKL turut mengekori suspek dengan sebuah lagi ambulans.

“Selepas dimaklumkan lokasi kedudukan ambulans itu, URB berjaya menyekat dan menahan kenderaan itu 12.39 tengah malam di Jalan Tar, Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek berusia 51 tahun itu mendakwa dia bertindak sedemikian disebabkan mendengar bisikan suara halus.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek turut mempunyai 17 rekod jenayah lampau, terutama berkaitan dadah.

“Pihak kami masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 3:10 PM
SUSPEK ditahan selepas melarikan ambulans milik HKL. Gambar kanan menunjukkan rakaman CCTV suspek melarikan ambulans. FOTO Ihsan Polis
SUSPEK ditahan selepas melarikan ambulans milik HKL. Gambar kanan menunjukkan rakaman CCTV suspek melarikan ambulans. FOTO Ihsan Polis