GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hasbi Sidek


UNTUK menyelamatkan diri, seorang pengarah syarikat membuat laporan palsu kononnya wang milik syarikat berjumlah RM182,193 disamun sedangkan ia hilang di kediamannya di Subang Jaya, Selangor.

Temberang lelaki berusia 30 tahun terbongkar selepas siasatan polis di lokasi kejadian ‘samun’ dekat Jalan Bulan, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, mendapati kejadian itu tidak berlaku sebelum soal siasat terhadap lelaki itu akhirnya mengaku membuat laporan palsu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, suspek membuat laporan mendakwa wang berjumlah RM190,000 disamun dua lelaki bermotosikal di Bukit Bintang, kira-kira jam 5.30 petang semalam.

“Kami menerima satu laporan daripada seorang lelaki berhubung kejadian ragut. Dia memaklumkan ketika berjalan di lorong Plaza Imbi, tiba-tiba sebuah motosikal dinaiki dua lelaki meragut beg kertas milik mangsa dan melarikan diri.

“Dakwanya, beg ini mengandungi wang tunai berjumlah RM190,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shaharuddin berkata, siasatan dijalankan di lokasi kejadian dengan meneliti kamera rakaman keselamatan dan menemubual saksi awam mengesahkan tiada kejadian ragut seperti dilaporkan, malah tiada pergerakan lelaki itu di lokasi.

“Siasatan lanjut terhadap suspek mendapati dia mengaku membuat laporan palsu dan menyatakan wang milik syarikat tempatnya bekerja di Johor berjumlah RM182,193 hilang di kediamannya di Subang Jaya.

“Kejadian ini hanya disedari selepas rakan perniagaannya meminta suspek menyerahkan wang berkenaan. Dia membuat laporan palsu sebagai alasan kepada rakan kongsinya,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 8:13 PM