GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nazri Abu Bakar


Melaka: Umpan saham pada harga RM61 seunit dan bakal mendapat keuntungan segera RM120.

Tawaran luar biasa itu mendorong juruteknik kilang berusia 31 tahun membuat pelaburan besar membabitkan jumlah RM45,120 bagi pelaburan tidak wujud di Brunei.

Difahamkan mangsa langsung tidak mengesyaki ia satu bentu penipuan pelaburan selepas diperdaya kononnya saham itu adalah bagi pelaburan carigali minyak, gas dan hartanah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, penipuan bermula apabila mangsa berkenalan dengan suspek melalui laman sosial Facebook pada Ogos tahun lalu.

Katanya, suspek memujuk mangsa membeli saham syarikat pada harga RM61 seunit dengan keuntungan hampir sekali ganda.

"Malah mangsa dijanjikan keuntungan lebih besar jika menyimpan unit pelaburan itu untuk tempoh masa lama.

"Tertarik dengan tawaran itu, mangsa membuat pembayaran pertama berjumlah RM61 ke akaun syarikat suspek pada 1 Oktober 2020 dan dimaklumkan mangsa mendapat keuntungan seperti dijanjikan.

"Suspek kemudian memaklumkan unit saham itu sudah meningkat daripada RM61 kepada RM120 seunit," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang teruja mendapat keuntungan kali pertama segera membuat pembayaran berjumlah RM45,120 menerusi 39 kali transaksi bermula pada 21 Februari 2021 sehingga 15 April 2021.

"Bagaimanapun selepas pembayaran dilakukan, mangsa tidak mendapat keuntungan seperti dijanjikan dan panggilan mangsa juga disekat," katanya.

Sundra berkata, mangsa yang percaya ditipu dalam pelaburan itu membuat laporan polis di balai polis Asahan, Jasin pada 17 April 2020 dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Justeru itu, JSJK Melaka menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang diragui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 4:11 PM