FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pesara menanggung kerugian RM84,776.65 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan saham yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 22 Januari lalu mangsa melayari Facebook dan menemui iklan menawarakan pelaburan saham.

Menurutnya, mangsa berusia 62 tahun dari Jerantut tertarik dengan pelaburan berkenaan dan berhubung dengan suspek melalui WhatsApp untuk menyatakan minat melabur.

Katanya, mangsa disyaratkan untuk membuat pembayaran pendaftaran sebanyak RM1,500 dan dijanjikan mendapat pulangan RM83,400 dalam tempoh tiga hari serta diberikan pautan saham tersebut.

"Dalam tempoh dua hari iaitu 22 dan 23 Januari lalu mangsa membuat 13 transaksi berjumlah RM84,776.65 ke dalam lima akaun bank berlainan untuk pelbagai pembayaran termasuk caj proses bagi mendapatkan keuntungan pelaburan saham tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, selepas selesai membuat semua pembayaran, mangsa tidak menerima pulangan dijanjikan sehingga ke hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut semalam.

Dalam kes lain seorang Pengawal Keselamatan Felda kerugian RM3,500 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud.

Menurut Mohd Wazir, mangsa berhubung dengan suspek di Telegram dan berminat dengan tawaran pakej RM500 yang berpeluang mendapat keuntungan RM7,000 dalam masa 6 jam.

"Mangsa membuat pembayaran sebanyak 3 kali sebanyak RM3,500 dan mula mengesyaki dirinya telah tertipu apabila tidak mendapat sebarang wang keuntungan seperti yang ditawarkan," katanya.

Dua kes berkenaan disiasat mengikutSeksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 10:36 AM