GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kes penipuan pelaburan tidak wujud dilihat semakin membimbangkan di negeri ini apabila 17 kes dengan kerugian RM450,617.85 dilaporkan Januari tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, peningkatan berkenaan amat ketara berbanding 2019 yang merekodkan kerugian RM262,734.62 daripada 58 kes.

Beliau berkata, tahun lalu, 146 kes dengan nilai kerugian RM6,027,488.21 direkodkan.

Sehubungan itu, bagi mengelakkan perkara sedemikian terus berlaku, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun yang meragukan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang urusan di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau dengan memuat turun aplikasi "CHECK SCAMMERS CCID" di Google PlayStore.

Menurutnya, kes terbaharu pada 10 Feb lalu membabitkan pegawal keselamatan berusia 56 tahun yang mendakwa kerugian RM16,700 dengan pelaburan saham tidak wujud.

Mangsa mendapat penjelasan mengenai pelaburan terbabit daripada rakan sebelum membuat pembayaran pertama ke nombor akaun bank diberikan suspek.

Katanya, mangsa menambahkan pelaburan selepas melihat keuntungan berlipat ganda menerusi laman web.

Bagaimapun, mangsa menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan wang pelaburan selain tidak dapat menghubungi pihak berkenaan lalu membuat laporan di Balai Polis Malim.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di atas kesalahan menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 1:06 PM