Gambar hiasan
Gambar hiasan
Norsyazwani Nasri


Kuching: Seorang suri rumah kerugian RM540,000 akibat terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud di laman sosial.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial(JSJK) Sarawak menerima laporan berhubung kes itu yang dibuat wanita berusia lewat 60-an semalam.

"Mangsa melihat satu iklan di Facebook dan berhubung dengan suspek melalui WhatsApp pada 2 Oktober lalu.

"Mangsa berminat untuk belajar mengenai saham dan menekan satu pautan yang diberikan oleh suspek untuk mangsa membuat pelaburan saham," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa kemudian diterangkan tentang pelaburan terbabit dan suspek menawarkan diri sebagai ejen untuk membantu mangsa dalam pembelian saham beberapa syarikat.

"Mangsa dijanjikan pulangan dari 50 peratus sehingga 100 peratus dalam pelaburan saham ini.

"Mangsa yang berminat, kemudian telah membuat 11 kali transaksi pindahan wang sebanyak RM540,000 secara berperingkat kepada tiga akaun bank yang berbeza bermula dari awal bulan Oktober 2023 sehingga pertengahan Oktober lalu," katanya.

Beliau berkata, mangsa sedar telah ditipu apabila suspek memintanya membuat pembayaran tambahan sedangkan mangsa masih belum lagi menerima apa-apa pulangan keuntungan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 4:20 PM