GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nazri Abu Bakar

Melaka: Seorang pegawai farmasi berusia 27 tahun mengalami kerugian berjumlah RM57,150 selepas terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud menerusi laman sosial WeChat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Superintendan E Sundra Rajan berkata, pada 3 Mac lalu, mangsa yang menetap di Muar, Johor menerima 'link' pelaburan saham dikenali Euro-Asia Trade yang diperkenalkan rakannya.

Katanya, mangsa yang memuat naik aplikasi berkenaan kemudian diterangkan mengenai pelaburan selepas sekali lagi menekan servis khidmat pelanggan yang diberikan.

"Tertarik dengan tawaran, mangsa membuat pembayaran pertama sebanyak RM1,000 melalui pemindahan wang ke akaun yang diberikan suspek.

"Mangsa yang kemudian menerima pulangan sebanyak RM3,000 dikreditkan ke akaunnya teruja untuk menambah pelaburan.

"Pada 6 Mac sehingga 21 Mac lalu, mangsa membuat lapan kali transaksi pemindahan wang secara berperingkat berjumlah RM57,150 namun selepas selesai, mangsa tidak lagi menerima pulangan pelaburan yang dijanjikan," katanya.

Menurutnya, mangsa yang berasa ditipu membuat laporan di Balai Polis Tanjung Minyak pada 30 Mac lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Bagi mengelak perkara sama berlaku, Sundra berkata, orang ramai boleh membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau dengan memuat turun aplikasi 'CHECK SCAMMERS CCID' di Google PlayStore.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 6:25 PM