Datuk Seri Hamzah Zainuddin. FOTO Hairul Anuar Rahim
Datuk Seri Hamzah Zainuddin. FOTO Hairul Anuar Rahim
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat rakaman audio perbualan didakwa mirip suara Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tersebar, baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, siasatan akan dilakukan bagi melihat sama ada rakaman audio itu tulen atau sebaliknya.

"Sudah tentu kita (KDN) akan siasat semua laporan yang diberikan kepada kita. Pertama, siasat tentang ketulenan, apakah ada perbuatan itu.

"Kalau tidak ada perbualan itu, maka bermakna cerita yang dibuat itu adalah fitnah," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan melancarkan Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hamzah berkata, beliau juga ada mendengar rakaman audio berkenaan.

"Kalau ceritanya betul, saya dengar juga (audio itu), ceritanya Zahid mengaku bahawa Anwar adalah cikgu.

"Kalau itu betul, salah ke Anwar Ibrahim jadi cikgu kepada Ahmad Zahid. Yang dua-dua nak marah ni kenapa? Saya pun hairan juga," katanya.

Mengulas mengenai kerjasama antara Umno dengan PKR seperti dalam perbualan itu, beliau berkata, ia adalah terpulang kepada kedua-dua pihak berkenaan.

"Salah ke kalau Umno nak bekerjasama dengan PKR. Kalau salah, terpulang kepada mereka. Jadi kalau mereka kata tidak ada, tidak pernah bincang, maknanya tidak benar Umno nak bersubahat dengan PKR.

"Jadi apahal nak kena hantar surat kepada Agong. Sudah tidak ada. Maknanya Anwar Ibrahim kata dulu dia ada 'formidable numbers' (jumlah majoriti mencukupi membentuk kerajaan) tidak benar.

"Tidak ada pun kerjasama. Jadi ada dua perkara di sini, pertama ada perbualan dan adakah ia tulen, kedua apa yang ada dalam perbualan itu. Apakah kerjasama itu berlaku atau tidak, dia jawablah," katanya.

Terdahulu, audio perbualan di antara dua individu yang dikatakan mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar tersebar di media sosial dan blog baru-baru ini, didakwa berlaku selepas Perhimpunan Agung Umno

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 5:44 PM