KENDERAAN dipercayai membawa Anwar dilihat memasuki pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk membri keterangan berhubung kes audio yang tular. FOTO Aswadi Alias.
KENDERAAN dipercayai membawa Anwar dilihat memasuki pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk membri keterangan berhubung kes audio yang tular. FOTO Aswadi Alias.
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung klip audio dikatakan antara beliau dan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tular baru-baru ini.

Anwar tiba pada 9.58 pagi tadi menaiki sebuah kereta jenis Jaguar hitam.

Ketua pembangkang itu dilihat ditemani peguamnya, Sankara N Nair.

Media sebelum ini melaporkan, rakaman audio perbualan dua individu yang mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar yang tular sejak awal bulan ini, akan disiasat jika pihak berkuasa menerima laporan.

Ahmad Zahid dan Anwar menjadi tumpuan selepas rakaman audio perbualan yang didakwa mirip suara mereka tular di media sosial.

Melalui audio berdurasi empat minit 17 saat itu, turut kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) menerusi panggilan telefon.

Menerusi rakaman sama, Anwar yang juga Ketua Pembangkang dikatakan mengakui tidak mengikuti PAU secara dekat, selama 22 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 10:36 AM