ABDUL Hamid. FOTO Muhd Asyraf Sawal
ABDUL Hamid. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Norzamira Che Noh

Klang: Polis akan merakam keterangan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu rakaman audio perbualan telefon yang tular.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kertas siasatan berkaitan perkara itu juga sudah dibuka.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila kertas siasatan dibuka, itulah yang perlu diambil (keterangan). Apabila tiba masanya, pegawai penyiasat akan merakamkan kenyataan, ia adalah proses siasatan.

"Sekiranya kedua-dua pihak iaitu Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid merasakan diri teraniaya, mereka boleh tampil buat aduan supaya polis boleh buat siasatan daripada sudut itu," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Taman Angkat AMANITA Kontinjen Selangor, di Bandar Puteri dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, proses tindakan akan diambil satu persatu yang mana rakaman itu akan dianalisis ketulenannya di makmal forensik.

Hamid berkata, hasil analisa itu akan diserah kepada Jabatan Peguam Negara untuk klasifikasi kes serta tindakan lanjut.

"Sebolehnya, dalam apa juga kes, kita cuba untuk dapatkan penyelesaian cepat dan siasatan segera," katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat semalam, pihaknya menerima lapan laporan polis berhubung rakaman audio terbabit di seluruh negara.

"Rakaman audio itu dihantar ke Makmal Forensik bagi dianalisis perbandingan persamaan suara.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman," katanya.

Pada 7 April lalu, satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Presiden Umno dan Presiden PKR didedahkan di media sosial.

Melalui audio empat minit 17 saat itu, suara mirip Anwar antara lain memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) dan mengakui tidak mengikuti PAU secara dekat selama 22 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 2:03 PM