Tan Sri Annuar Musa.
Tan Sri Annuar Musa.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Putrajaya: "Sebagai orang yang mengenali mereka (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk tempoh yang lama, saya yakin suara itu tulen dan bukan dibuat (disunting)," kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Umno Ketereh berkata, penafian Presiden Umno dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenai perkara itu sememangnya sudah dijangka.

Katanya, kandungan perbualan itu ternyata sangat mengecewakan kerana ahli Umno sudah membuat ketetapan menolak kerjasama dengan Anwar, PKR dan DAP dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini.

"Sebagai ahli Umno, saya rasa dikhianati kerana ketetapan (tolak kerjasama) sudah dibuat ahli parti dalam PAU yang lalu.

"Umno Ketereh juga seperti berasakan untuk menarik balik sokongan atas dasar yang dibuat dalam perhimpunan yang lalu (untuk tidak bekerjasama dengan Anwar, PKR dan DAP)," katanya dalm sidang media selepas merasmikan MySmart Wilayah 2030, di sini, hari ini.

Annuar berkata, selaku presiden, Ahmad Zahid perlu berlapang dada untuk melepaskan jawatannya seperti dilakukan pemimpin tertinggi parti itu sebelum ini.

Katanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak berjiwa besar melepaskan jawatan Presiden Umno bagi memastikan kestabilan parti.

"Saya cadangkan mereka berdua (Ahmad Zahid dan Anwar) membuat sumpah laknat seperti Datuk Seri Najib bagi menafikan perkara ini.

"Kalau minta polis siasat dan jika terbukti benar, akan ada pula dakwaan mengatakan polis terbabit dalam konspirasi," katanya.

Beliau berkata, terbukti kenyataan terbuka berhubung kerjasama Umno dan PKR sudah terbukti dan bukan sekadar dakwaan semata-mata.

Semalam, tular di laman sosial rakaman audio antara Ahmad Zahid dan Anwar yang merujuk kepada ucapan Presiden Umno itu dalam PAU baru-baru ini.

Dakwaan kerjasama itu bukan lagi rahsia dalam landskap politik tempatan walaupun kedua-dua pemimpin menafikan perkara berkenaan.

Zahid dan Anwar juga dilaporkan akan membuat laporan polis bagi menafikan mereka adalah individu yang didakwa dalam rakaman audio berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 1:49 PM