ANWAR keluar dari  Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas memberi keterangan berhubung kes audio yang tular. FOTO Aswadi Alias.
ANWAR keluar dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas memberi keterangan berhubung kes audio yang tular. FOTO Aswadi Alias.
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi keterangan lebih satu jam di Bukit Aman berhubung siasatan klip audio dikatakan antara beliau dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tular baru-baru ini.

Anwar dilihat keluar dari perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, pada 11.24 pagi ditemani peguamnya, Sankara N Nair dan Ramkarpal Singh Deo sebelum bertemu media.

"Saya dipanggil sebagai saksi dalam kes audio yang didakwa percakapan antara saya dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.

"Jadi saya beri kerjasama kepada polis yang menggunakan peruntukan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

"Soalnya saya tidak tahu sama ada ia kes rasuah, ugutan atau jenayah tapi saya beri kerjasama, Saya beritahu kalau ada pendakwaan, saya akan beri keterangan lengkap," katanya.

Terdahulu Anwar yang berkemeja biru muda tiba di Bukit Aman pada 9.58 pagi menaiki kereta Jaguar hitam.

Media sebelum ini melaporkan, rakaman audio perbualan dua individu yang mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar yang tular sejak awal bulan ini.

Melalui audio berdurasi empat minit 17 saat itu, turut kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) menerusi panggilan telefon.

Menerusi rakaman sama, Anwar dikatakan mengakui tidak mengikuti PAU secara dekat, selama 22 tahun.

Berita berkaitan:

  • Anwar tiba di Bukit Aman beri keterangan klip audio
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 1:23 PM