BOMBA membantu membawa mayat mangsa ke darat. FOTO Ihsan APMM.
BOMBA membantu membawa mayat mangsa ke darat. FOTO Ihsan APMM.
Ruwaida Md Zain


Klang: Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah berhubung kematian seorang kru kapal MV Hamburg DW akibat kebocoran gas ammonia di Pelabuhan Barat, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa yang maut adalah warga Turki dikenali Kara Turkut, 62.

Katanya, mangsa yang cedera adalah dua rakan senegaranya iaitu Dagli Murat, 32 dan Bayri Emre, 28 serta seorang warga India, Yadav Byasmuni, 50.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di perairan Pintu Gedung, Pelabuhan Barat, petang semalam.

"Kapal ini hanya melalui perairan Malaysia dan dalam perjalanan ke Pelabuhan China dari Pelabuhan Oman dengan membawa muatan gas ammonia.

"Setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan hanya membabitkan kemalangan dalam kapal itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk tindakan selanjutnya.

"Semua kru yang cedera dan meninggal dunia sudah dihantar ke hospital untuk tindakan rawatan dan bedah siasat," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Selangor menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim dilapor berkata, pihak MRSC Johor Bahru menerima permohonan bantuan memindahkan mangsa ke darat bagi tujuan rawatan 'Medical Evacuation' (MEDEVAC) dari kapal MV Hamburg DW pada jam 12.19 tengah malam dan menghubungi APMM untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

Tubuh pasukan penyiasat siasat kes kebocoran gas ammonia

Gas ammonia bocor, kru kapal maut

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 7:18 PM