PASUKAN HAZMAT membuat pemeriksaan dalam kilang (gambar kecil) apabila berlaku kebocoran gas ammonia sekali lagi sehingga enam pelajar sekolah sesak nafas selepas menghidu gas berkenaan. Foto STR/FALIQ LAJIM & IHSAN BOMBA
PASUKAN HAZMAT membuat pemeriksaan dalam kilang (gambar kecil) apabila berlaku kebocoran gas ammonia sekali lagi sehingga enam pelajar sekolah sesak nafas selepas menghidu gas berkenaan. Foto STR/FALIQ LAJIM & IHSAN BOMBA
Faliq Lajim


ENAM pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa dikejarkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas dan muntah dipercayai akibat kebocoran gas ammonia di sebuah kilang ais di Desa Latania, Seksyen 36, Shah Alam, hari ini.

Difahamkan, semua pelajar perempuan berusia 15 hingga 17 tahun itu dibawa ke Hospital Shah Alam (HSAS) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pengetua sekolah itu, Lim Peck Poh mengesahkan sudah mengarahkan semua pelajar pulang ke rumah sebagai langkah keselamatan.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada sekolah berkenaan pada jam 7.04 pagi.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) bergegas ke lokasi kejadian.

“Bacaan di lokasi dalam kilang dan kawasan persekitaran didapati berada di bawah 40 Part Per Million (ppm) dan masih lagi terkawal.

“Ketika kejadian, tiada sesiapa berada di dalam kilang berikutan tidak dibenarkan beroperasi. Setakat ini, keadaan terkawal dan kita difahamkan sekolah berkenaan ditutup sebagai langkah bagi keselamatan pelajar,” katanya.

Katanya, pihaknya akan berada di lokasi bagi memantau tahap kandungan gas ammonia di udara.

Isnin lalu, NSTP melaporkan dua pekerja warga asing maut selepas terhidu gas ammonia di kilang sama.

Dalam kejadian jam 5.11 pagi itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa yang maut dipercayai terhidu gas ammonia yang bocor dari tangki simpanan bahan ammonia ketika sedang bekerja.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut mengarahkan kilang ais itu ditutup serta-merta sehingga proses siasatan selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 12:31 PM