Warga Greek yang diserang sakit jantung dibantu anggota APMM. FOTO ihsan APMM
Warga Greek yang diserang sakit jantung dibantu anggota APMM. FOTO ihsan APMM
Syahril Azam Sulaiman

Pelabuhan Klang: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan seorang lelaki yang diserang sakit jantung di atas kapal di kedudukan 38 batu nautika Perairan Pulau Ketam, Klang, menggunakan helikopter, petang tadi.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan berkata, kru terbabit, Chatzipavlou Savvas, 67, warga Greek adalah kru kapal MV Irene II yang dalam perjalanan dari Pelabuhan Saldanha, Afrika Selatan menuju Singapura.

Katanya, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Putrajaya menerima panggilan kecemasan daripada kapal berkenaan pada 1.45 petang tadi sebelum menyalurkannya kepada MRSC Johor Bahru, Johor.

"Sebaik menerima maklumat itu, sebuah helikopter AW139 Agusta dari Stesen Udara Maritim Subang dihantar ke lokasi kapal berkenaan sebelum tiba 25 minit kemudian.

"Helikopter berkenaan kemudian mendarat di sebuah padang bola di Pelabuhan Klang sebelum mangsa dihantar ke sebuah hospital swasta untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 8:29 PM