ANTARA PATI yang diselamatkan selepas bot dinaiki karam. FOTO ihsan APMM
ANTARA PATI yang diselamatkan selepas bot dinaiki karam. FOTO ihsan APMM
Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Seorang maut manakala 35 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia selamat selepas bot yang dinaiki mereka karam ketika cuba memasuki negara ini, hari ini.

Kesemua PATI berkenaan dipercayai menaiki kapal tangki milik syarikat swasta, MV NCC Najem sebelum dipindahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, 23 batu nautika barat Pulau Ketam, dekat sini.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor terdahulu menerima maklumat berkaitan penemuan itu daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru pada 2.23 pagi tadi.

"Susulan itu, bot Perkasa 36 Maritim Selangor, bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama bot Pasukan Polis Marin (PPM) diatur gerak ke lokasi untuk operasi menyelamat.

"Hasil pemeriksaan mendapati, seramai 35 PATI terdiri daripada 28 lelaki dan tujuh wanita dalam lingkungan umur 22 hingga 51 tahun berjaya dipindahkan ke aset penguatkuasa termasuk mayat lelaki yang ditemui oleh kru kapal tangki berkenaan dalam keadaan terapung.

"Bagaimanapun, kedudukan bot penyeludup yang karam belum dipastikan dan masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua 35 PATI dibawa ke Pejabat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut, manakala mayat diserahkan kepada polis untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 7:32 PM