Lelaki warga Filipina yang terselamat selepas terjatuh dari kapal kontena semalam. FOTO Ihsan APMM
Lelaki warga Filipina yang terselamat selepas terjatuh dari kapal kontena semalam. FOTO Ihsan APMM
Siraj Mohd Zaini


JAKET keselamatan menyelamatkan nyawa kru kapal warga Filipina selepas terjatuh dari kapal kontena MV Ocean Nhava Sheva di kedudukan 20 batu nautika barat daya Tanjung Rhu, Kuala Langat semalam.

Mangsa, Generoso Gempeson, 38, diselamatkan sebuah kapal kontena lain selepas hanyut lebih enam jam apabila terjatuh ke dalam laut kira-kira jam 10 pagi semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang ketika itu memakai jaket keselamatan terjatuh ke dalam laut akibat tergelincir ketika melakukan kerja di atas kapal berkenaan.

Menurutnya, mangsa kemudiannya hanyut kira-kira 11 kilometer (KM) dari lokasi kapal berkenaan.

“Beberapa aset APMM kemudiannya digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima panggilan kecemasan dari Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Baharu jam 3 petang.

“Mangsa bagaimanapun berjaya ditemui dan diselamatkan kru kapal MV Peneng Bridge pada jam 4.29 petang di kedudukan 12.7 batu nautika dari Pintu Gedung, Pelabuhan Klang,” katanya hari ini.

Mohammad Rosli berkata, semakan mendapati kapal MV Ocean Nhava Sheva itu dalam perjalanan dari Singapura ke Chittagong, Bangladesh.

Katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Jabatan Laut oleh pihaknya sebelum dihantar ke Hospital Pantai, Klang untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 2:43 PM