GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Seramai 248 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan aktiviti pusat hiburan antara kesalahan tertinggi yang direkodkan, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 205 individu ditahan atas kesalahan terbabit manakala 17 lagi atas kesalahan tiada penjarakan fizikal.

"Kesalahan lain yang dikesan adalah 11 individu ditahan kerana gagal merekod butiran diri di aplikasi MySejahtera, rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (8), tidak memakai pelitup muka (4) dan lain-lain (3).

"Daripada jumlah itu, 228 individu dikenakan kompaun manakala tiga direman dan 17 lagi dijamin," katanya.

Mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) berjaya ditahan dan tiga kenderaan darat dirampas selain mengesan 113 bot serta kapal di perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan, semalam.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia mengadakan 256 sekatan jalan raya di seluruh negara.

Selain itu, katanya, semalam seramai 908 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan mereka dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

Bagi saringan wajib pekerja asing, beliau berkata, seramai 460 warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, seorang didapati positif, semalam.

Katanya, secara kumulatifnya seramai 671,608 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 34,838 majikan.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut membuat 785 pemantauan ke atas 11 jenis bekalan barangan terdiri daripada peruncit (595), pemborong (159) dan pengilang (31).

"KPDNHEP juga melakukan 2,123 pemeriksaan khas dan semua premis didapati mematuhi SOP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 7:28 PM