FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 369 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan aktiviti pusat hiburan antara kesalahan tertinggi yang direkodkan, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 155 individu ditahan atas kesalahan terbabit, manakala 77 lagi kesalahan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan.

"Kesalahan lain yang dikesan adalah tidak memakai pelitup muka (39), tiada penjarakan fizikal (34), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (29), premis beroperasi lebih masa (20) dan lain-lain (15).

"Daripada jumlah itu, 330 individu dikenakan kompaun manakala 37 direman dan dua lagi dijamin," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 35 pendatang asing tanpa izin (Pati) berjaya ditahan dan lima kenderaan darat dirampas selain mengesan 86 buah bot serta kapal di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan, semalam.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengadakan 264 sekatan jalan raya di seluruh negara.

Selain itu katanya, semalam seramai 801 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan mereka dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

Bagi saringan wajib pekerja asing, beliau berkata, seramai 4,496 warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 39 orang didapati positif.

Tambah beliau, secara kumulatifnya seramai 608,093 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 31,682 majikan.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut membuat 734 pemantauan manakala Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melakukan 28 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara semalam.

"Sebanyak 27 tapak binaan mematuhi SOP manakala satu lagi diarahkan tutup serta-merta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 7:06 PM