ANGGOTA polis memeriksa surat kebenaran rentas negeri dengan teliti di SJR di Plaza Tol Gombak, 14 Mac lalu. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA polis memeriksa surat kebenaran rentas negeri dengan teliti di SJR di Plaza Tol Gombak, 14 Mac lalu. FOTO Aizuddin Saad
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 125 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran adalah kesalahan tertinggi direkodkan, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 43 individu ditahan atas kesalahan terbabit, manakala 29 lagi kesalahan tidak memakai pelitup muka.

"Kesalahan lain yang dikesan adalah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (28), tiada penjarakan fizikal (11), ingkar arahan kuarantin (5), aktiviti pusat hiburan (1) dan lain-lain (8).

"Daripada jumlah itu, 111 individu dikenakan kompaun manakala 14 direman," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Berkenaan Op Benteng, Ismail Sabri berkata, 24 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan kenderaan dirampas.

Selain itu, katanya, pihak berkuasa turut mengesan 30 bot dan kapal di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan serta mengusir lima Pati, semalam.

Beliau berkata, semalam 829 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan mereka dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

Bagi saringan wajib pekerja asing, Ismail Sabri berkata, seramai 3,567 warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 35 orang didapati positif.

Tambah beliau, secara kumulatifnya 627,010 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 32,425 majikan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 744 pemantauan manakala Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melakukan 25 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara semalam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 5:46 PM