GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 230 individu ditahan semalam kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan kesalahan tertinggi yang direkodkan ialah gagal daftar masuk premis.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 77 individu ditahan atas kesalahan terbabit manakala 52 lagi kerana tidak memakai pelitup muka.

"Sebanyak 31 kesalahan membabitkan aktiviti pusat hiburan, tiada penjarakan fizikal (14), gagal menyediakan peralatan merekod diri pelanggan (2) dan lain-lain (54).

"Daripada jumlah itu, 228 individu dikompaun manakala dua lagi direman," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, seramai lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan empat kenderaan darat dirampas menerusi Op Benteng, semalam.

Katanya, sebanyak 180 buah bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan.

Mengenai kuarantin wajib, beliau berkata, semalam 686 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan mereka dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

Menurutnya, secara kumulatif sejak 24 Julai 2020, seramai 180,910 individu pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 74 hotel serta sembilan Institut Latihan Awam (ILA) termasuk Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) melaporkan 478 warga asing menjalani ujian saringan semalam, dan daripada jumlah itu tiga orang didapati positif Covid-19.

"Secara kumulatifnya, seramai 686,615 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 35,415 majikan di 1,544 klinik berdaftar," katanya.

Sementara itu, katanya, pemantauan dan pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi.

Menurutnya, KPDNHEP membuat 755 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan terdiri daripada peruncit (593), pemborong (131) dan pengilang (31).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 6:30 PM