GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kerajaan mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Flat Sibu Jaya Blok C, H, J, K, L, N dan R di Sibu, Sarawak esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 6,875 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 390 kes positif Covid-19 dilaporkan.

"KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Flat Sibu Jaya Blok C, H, J, K, L, N dan R, Sibu, Sarawak pada esok seperti dijadualkan," katanya dalam kenyataan harian mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, seramai 5,036 warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 semalam dan 88 orang didapati positif.

"Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 598,790 pekerja warga asing menjalani ujian saringan membabitkan 31,275 majikan.

"Daripada jumlah itu, seramai 9,500 orang disahkan positif Covid-19, manakala 589,290 lagi adalah negatif.

"Sehingga kini, sebanyak 1,517 klinik terbabit dengan program saringan ini selepas kerajaan mewajibkan semua pekerja asing perlu melakukan ujian saringan mulai 1 Februari lalu," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan Pasukan Khas Operasi Pematuhan, Ismail Sabri memaklumkan seramai 451 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 393 dikompaun, manakala 58 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah seramai 129 dikompaun kerana gagal menyediakan peralatan merekod diri pelanggan, aktiviti pusat hiburan (82), tiada penjarakan fizikal (79) serta aktiviti pelacuran (75).

"Selain itu, 28 individu ditahan kerana rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran, tidak memakai pelitup muka (49) serta premis beroperasi lebih masa dan tanpa kebenaran (9)," katanya.

Ismail Sabri berkata, menerusi Operasi Benteng semalam berjaya menahan 24 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas enam kenderaan darat.

"Dalam operasi inj, pihak berkuasa turut mengesan 103 bot atau kapal di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan.

"Selain itu, lima Pati turut diusir menerusi tiga aktiviti pengusiran," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 6:23 PM