GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 242 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan gagal menyediakan peralatan merekod diri pelanggan antara kesalahan tertinggi yang direkodkan, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 88 individu ditahan atas kesalahan terbabit, manakala 66 lagi didapati tidak memakai pelitup muka.

"Kesalahan lain yang dikesan adalah tiada penjarakan fizikal (46), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (33), aktiviti pusat hiburan (6), premis beroperasi lebih masa (2) dan seorang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Daripada jumlah itu, 240 individu dikenakan kompaun manakala dua lagi direman," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 26 pendatang asing tanpa izin (Pati) berjaya ditahan dan sebuah kapal serta empat kenderaan darat dirampas, semalam.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengadakan 264 sekatan jalan raya di seluruh negara.

Selain itu, katanya, semalam seramai 619 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan mereka dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

Bagi saringan wajib pekerja asing, beliau berkata, seramai 4,807 warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 114 individu didapati positif.

Tambahnya, secara kumulatifnya seramai 603,597 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 31,466 majikan.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut membuat 756 pemantauan manakala Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melakukan 41 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara semalam.

"Sebanyak 40 tapak binaan mematuhi SOP manakala satu lagi diarahkan tutup serta-merta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 6:07 PM