Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 1,388 individu ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan aktiviti di pusat hiburan antara kesalahan tertinggi yang direkodkan, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 623 individu ditahan atas kesalahan terbabit, manakala 424 individu lagi didapati gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal.

"Selain itu, kesalahan lain yang dikesan adalah tidak memakai pelitup muka (137), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (118) dan lain-lain (86).

"Daripada jumlah itu, 1,352 individu dikenakan kompaun, manakala 32 direman dan empat dijamin," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 95 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan semalam.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengadakan 105 sekatan jalan raya di seluruh negara.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa terus

mengetatkan kawalan sempadan terutama di lorong tikus," katanya.

Selain itu, katanya, sejak 24 Julai tahun lalu hingga semalam, seramai 96,312 individu dari luar negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 76 hotel, 16 Institut Latihan Awam (ILA) serta swasta.

Tambah beliau, daripada jumlah itu, 7,547 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 88,225 individu dibenarkan pulang.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut membuat 604 pemantauan harian ke atas 11

jenis bekalan barangan termasuk peruncit (445), pemborong (128) dan pengilang (31) semalam.

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 5:03 PM