Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan, tiada implikasi pada kestabilan politik negara samada Undi 18 ditangguhkan atau diteruskan tahun ini.

Ahmad Faizal berkata, keadaan politik semasa menunjukkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) tidak sepenuhnya bergantung kepada faktor usia dan jantina.

"Sama sahaja (keputusan) kalau ada umur 18 boleh mengundi dalam PRU akan datang ataupun tidak, situasinya lebih kurang sama sahaja.

"Sebab sekarang saya nampak politiknya bukan dari segi umur dan jantina sangat, tetapi banyak juga dari segi bangsa," katanya pada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah Perak Foodbank di Kampung Sungai Rokam, di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun, menyambut baik pelaksanaan Undi 18 di masa akan datang.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataannya memaklumkan Pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

AHMAD Faizal selepas merasmikan Program Derma Darah Perak Foodbank. FOTO Balqis Jazimah Zahari
AHMAD Faizal selepas merasmikan Program Derma Darah Perak Foodbank. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan, berkata pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti dari sayap pemuda termasuk Pemuda UMNO, MCA, PKR, Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dan Pemuda DAP menuntut kerajaan menyatakan pendirian berhubung status undi 18 tahun.

Ia susulan kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang mendakwa negara belum bersedia melaksanakan dasar undi 18 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 12:40 PM