Balqis Jazimah Zahari

DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatan selaku Menteri Besar Perak, hari ini.

Ahmad Faizal memaklumkan perkara itu sebaik keluar daripada mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, Ipoh, 10.35 pagi tadi.

Ahmad Faizal berkata, dengan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Perak, beliau turut memaklumkan mempersembahkan pelucutan jawatan kesemua ahli exco negeri.

"Alhamdulillah saya mengadakan perjumpaan dengan Tuanku Sultan Perak. Pertamanya saya sembah maklumkan tentang semua perkara yang telah berlaku.

"Di mana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, UMNO dan PAS bersepakat untuk mengadakan satu gabungan dan kami telahpun mendapat majoriti 32 Ahli Dewan Negeri untuk menubuhkan kerajaan baru.

AHMAD Faizal bercakap pada sidang media sebaik keluar mengadap Sultan Nazrin. FOTO Balqis Jazimah Zahari
AHMAD Faizal bercakap pada sidang media sebaik keluar mengadap Sultan Nazrin. FOTO Balqis Jazimah Zahari

"Untuk itu saya juga terangkan apabila Bersatu keluar daripada PH maka tergugurlah kerajaan PH di negeri Perak.

"Maka selari dengan itu saya mempersembahkan warkah perletakan jawatan saya selaku Menteri Besar dan memaklumkan semua jawatan perlucutan semua ahli exco secara serta merta," katanya.

Ahmad Faizal berkata, sehubungan dengan itu bagi pihak Bersatu beliau sudah memyembahmaklumkan kepada Tuanku bahawa ketiga-tiga bersepakat untuk menerima apa sahaja titah perkenan untuk melantik seorang Menteri Besar Baru dan menubuhkan kerajaan negeri.

"Jadi, itu perkara yang saya bincangkan sembah maklum kepada dan kita akan nantikan titah selanjutnya daripada Tuanku Sultan.

"Saya memohon semua rakyat agar bersabar dan bertenang dalam menghadapi perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 11:43 AM