Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bekerjasama untuk menggunakan kemudahan sukan sedia ada di sekolah, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal berkata, kebanyakan fasiliti itu yang masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan orang ramai menerusi penganjuran yang dirancang di bawah Kementerian.

"Sebenarnya buat masa sekarang ini banyak fasiliti yang dalam keadaan yang baik melebihi daripada fasiliti yang dalam keadaan tidak baik.

"Jadi, saya sudah berhubung dengan pihak Kementerian Pendidikan untuk dibuka fasiliti sukan terutama di sekolah untuk turut diguna bersama dengan orang ramai melalui program yang turut dianjur oleh Kementerian Belia dan Sukan seperti Malaysia Sport League dan juga Seribu Liga yang akan bermula tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas apabila ditanya pemberita tentang kemungkinan KBS dan KPM berikutan fasiliti sukan yang mungkin berada berada dalam keadaan daif.

AHMAD Faizal (tengah) berkata KBS berbesar hati dengan kerjasama yang diberikan KPM dalam memastikan kelestarian sukan negara. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
AHMAD Faizal (tengah) berkata KBS berbesar hati dengan kerjasama yang diberikan KPM dalam memastikan kelestarian sukan negara. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Menurutnya, pihaknya berbesar hati dengan kerjasama yang diberikan KPM dalam memastikan kelestarian sukan negara.

"Jadi, saya mengucapkan terima kasih atas kerjasama baik yang diberikan oleh pihak KPM dan juga sekolah di seluruh negara bagi memastikan rakyat kita terus kekal cergas aktif.

"Kita dapat membudayakan sukan ke arah Malaysia negara bersukan, jadi kita mengalu-alukan kerjasama dan saya berharap kerjasama ini terus dieratkan dan ditambah baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 1:03 PM