PERSEKITARAN positif penting untuk meningkatkan produktiviti pekerja.
PERSEKITARAN positif penting untuk meningkatkan produktiviti pekerja.
Amir Haziq dan Prof Madya Dr Ezrin

Sambutan Hari Pekerja atau Hari Buruh di Malaysia pada tanggal 1 Mei setiap tahun adalah hari yang disambut bagi menghargai sumbangan pekerja kepada pembangunan negara Malaysia. Hari bermakna ini sering dimanfaatkan dengan aktiviti seperti perhimpunan pekerja dan bengkel kesedaran. Di samping itu, ada organisasi mengambil kesempatan pada hari itu untuk memberi penghargaan kepada pekerja cemerlang dan komited dalam menjalankan tugas.

Sempena Hari Pekerja ini, kita digalakkan memahami hak pekerja dalam membantu meningkatkan produktiviti kerja. Antara hak penting untuk seseorang pekerja itu adalah hak bekerja dengan selamat di ruangan kerja ditetapkan majikan. Jika pekerja merasakan ada risiko boleh membahayakan diri mereka, mereka boleh bersuara dan tidak melaksanakan kerja diarah majikan sehinggalah langkah pencegahan bahaya diambil.

Malangnya ramai pekerja kurang memahami hak mereka. Mereka cuba beradaptasi dengan bahaya yang ada sehingga terjadi kemalangan. Walaupun ada pepatah Melayu menyatakan malang tidak berbau, tetapi kita harus berpegang kepada slogan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan iaitu Kemalangan Boleh Dielakkan. Slogan itu membawa maksud, jika wujud bahaya di tempat kerja, dengan pengurusan risiko yang baik, kemalangan dapat dihindari.

Mempunyai majikan yang bersikap terbuka termasuk dalam hak asas pekerja di tempat kerja. Keterbukaan majikan secara adil dapat menjamin peluang pekerja memperoleh kesaksamaan dalam peningkatan kendiri dan kerjaya. Maklumat yang perlu diketahui pekerja harus dimaklumkan dengan segera agar dapat membuat tindakan susulan. Hasil keterbukaan itu, komunikasi berkesan dapat diterap dengan maklum balas yang diberikan pekerja terhadap maklumat yang diterima.

Komunikasi berkesan di tempat kerja memastikan konflik di tempat kerja dapat dielak. Memberi kefahaman tentang sesuatu perkara memerlukan komunikasi yang baik dan kekurangan kemahiran ini di pelbagai tahap organisasi, berkemungkinan menyebabkan seseorang pekerja itu sukar menjalankan tugas harian mereka di tempat kerja.

Hak asas pekerja yang terakhir adalah untuk mempunyai suasana kerja positif. Persekitaran positif adalah yang mana pekerja berasa inklusif, dihargai dan bermotivasi serta ia terhasil dari usaha sama secara langsung mahupun tidak langsung daripada majikan, pekerja dan pihak bertanggungjawab dalam organisasi. Persekitaran positif bukan sahaja penting bagi kesejahteraan fizikal dan emosi pekerja, tetapi secara tidak langsung meningkatkan tahap produktiviti mereka. Ini kerana mereka yang selesa dengan persekitaran kerja berupaya menyumbang idea dan komitmen secara keseluruhan demi kebaikan organisasi. Oleh itu, organisasi harus sentiasa mengambil kira idea dan maklum balas pekerja agar suasana di tempat kerja kekal positif dan bermotivasi tinggi.

Kesimpulannya, fokus kepada tiga hak asas utama pekerja ini harus diambil berat oleh majikan. Ia perlu dicapai di semua organisasi agar kita dapat memberi persekitaran kerja selamat dan kondusif kepada pekerja, malah tidak hanya mengejar keuntungan semata-mata sehingga kebajikan pekerja terabai. Bersempena Hari Pekerja atau Buruh hari ini, sama-sama kita meraikan dan mendukung tema Hari Pekerja 2024 kali ini iaitu Pekerja Kesuma Bangsa.

Penulis Prof Madya Dr Ezrin Hani Sukadarin, Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Amir Haziq Abdul Razak, Felo Industri Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia Fakulti Teknologi Kejuruteraan UTHM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 7:02 AM