Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan dakwaan lantikan Setiausaha Politik baharu Datuk Aznel Ibrahim bertujuan untuk mengukuhkan sokongan terhadapnya.

Ahmad Faizal berkata, beliau yakin masih mendapat sokongan daripada parti Umno dan PAS bagi mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

"Saya tidak perlu pun buat (kukuhkan sokongan) begitu, kerana saya percaya mendapat sokongan kuat daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno, PAS dan tentunya dari Bersatu.

"Saya yakin semua ADUN kekal pendirian dengan kerajaan PN ini, minggu depan kita ada sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) dan saya yakin semuanya akan berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Hoki dan Kriket Perak di Galasa Caldwell, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, beliau enggan mengulas panjang isu itu kerana mempunyai hubungan baik dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Saarani Mohamad, selain PAS dan Bersatu.

"Walau apa pun saya cakap... orang akan memberi pandangan berbeza, jadi saya tidak mahu ulas (panjang) tentang perkara itu

"Cuma saya hendak sampaikan semalam, kami mengadakan Mesyuarat Exco kerajaan negeri Perak dan fokusnya mahu meneruskan kerja serta memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

AHMAD Faizal pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Hoki dan Kriket Perak di Galasa Caldwell, Jalan Caldwell. FOTO Balqis Jazimah Zahari
AHMAD Faizal pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Hoki dan Kriket Perak di Galasa Caldwell, Jalan Caldwell. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Sebelum ini, media melaporkan pelantikan Setiausaha Politik Menteri Besar Perak dari Umno sepatutnya perlu dibincangkan dengan Badan Perhubungan Umno Perak atas semangat hormat-menghormati.

Saarani dilaporkan berkata, kerajaan negeri dibentuk atas semangat setiakawan serta persefahaman bagi memastikan Perak terpelihara daripada ancaman 'politik yang tidak sihat'.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 5:17 PM