Oleh Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Meskipun skuad badminton negara tersingkir di peringkat separuh akhir Piala Sudirman semalam, namun pemain sudah menunjukkan persembahan yang dianggap sebagai 'golden performance', kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal berkata, ini kerana kejayaan pasukan itu yang sudahpun berjaya melepasi peringkat suku akhir untuk perlawanan itu.

"Saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada pemain kita yang baru tersingkir di peringkat separuh akhir Piala Sudirman, namun saya kagum dengan prestasi mereka dan mereka sebenarnya sudah melepasi sasaran.

"Mereka berjanji kepada kita untuk sampai ke peringkat suku akhir, tetapi semalam walaupun tersingkir namun mereka sudah menyembahkan satu persembahan yang saya anggap sebagai 'golden performance'," katanya.

Beliau berkata demikian selepas selepas beliau selaku Ahli Parlimen Tambun melawat keluarga susah di Jalan Raja Kampung Manjoi di sini hari ini.

Beliau kagum melihat kesungguhan dan kesungguhan pasukan wajar diambil contoh kepada seluruh rakyat dalam negara ini.

"Saya kagum melihat kesungguhan mereka, jadi semangat ini saya nak minta seluruh warga Malaysia ambil contoh dalam apa perkara yang kita buat kita juga perlu bersungguh-sungguh seperti mereka.

"Kadang-kadang kita gagal tetapi kita akan bangkit semula dalam Piala Thomas dan Piala Uber lagi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap skuad badminton berjaya sampai ke perlawanan akhir Piala Thomas dan piala Uber.

Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal. -FOTO Balqis Jazimah Zahari
Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal. -FOTO Balqis Jazimah Zahari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 1:58 PM