Balqis Jazimah Zahari


MENTERI Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menziarahi pusara ayah dan ibunya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiah Kampung Kepayang, Fair Park di Ipoh petang hari ini.

Ahmad Faizal menuju ke pusara sejurus selesai istiadat angkat sumpah pelantikan semula beliau bagi menggalas jawatan Menteri Besar.

Beliau tiba di tanah perkuburan itu bersama isterinya, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi pada 6.40 petang sebelum menuju ke pusara ayahnya, Allahyarham Datuk Azumu Tak dan ibunya, Allahyarham Datin Zaliha Nordin.

Ahmad Faizal dan Nomee Ashikin kemudiannya menghadiri majlis tahlil dan bacaan Yasin di tanah perkuburan berkenaan yang dihadiri kira-kira 30 saudara, sahabat dan penduduk setempat.

Beliau kemudiannya dilihat menjirus air mawar di kedua-dua pusara orang tuanya yang berada bersebelahan.

AHMAD Faizal (dua dari kiri) menziarahi pusara ayahanda dan bondanya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiah Kampung Kepayang, Fair Park. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
AHMAD Faizal (dua dari kiri) menziarahi pusara ayahanda dan bondanya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiah Kampung Kepayang, Fair Park. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang, menerima watikah pelantikan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan kemudiannya mengangkat sumpah jawatan di hadapan baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Sultan Nazrin berkenan melantik Ahmad Faizal sebagai menteri besar selepas beliau mendapat kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dibuat berpandukan Perkara XVI Fasal 2 (a) Undang undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 7:44 PM