Balqis Jazimah Zahari

SELEPAS dua minggu mendiamkan diri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membuat kejutan dengan mengumumkan bahawa Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Perak.

Pengambilalihan itu dibuat selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengumumkan tindakan keluar daripada Pakatan Harapan.

“Atas nama Perikatan Nasional, saya dengan ini ingin memaklumkan bahawa kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, UMNO dan PAS negeri Perak mencapai persetujuan untuk membentuk sebuah gabungan baru.

“Gabungan ini melibatkan empat ADUN daripada BERSATU iaitu saya sebagai ADUN Chenderiang dan ADUN Sg Manik, Datuk Zainol Fadzi serta dua lagi ADUN yang telah menyertai BERSATU iaitu ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi,” katanya.

AHMAD Faizal (depan, tengah) mengadakan sidang media bagi mengumumkan keputusan kedudukan politik kerajaan negeri Perak. FOTO Balqis Jazimah Zahari
AHMAD Faizal (depan, tengah) mengadakan sidang media bagi mengumumkan keputusan kedudukan politik kerajaan negeri Perak. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan perkara berkenan di di Ipoh, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Ahmad Faizal berkata, selain itu, gabungan ini turut membabitkan kesemua 25 ADUN daripada UMNO dan tiga ADUN daripada PAS.

“Dengan gabungan ketiga-tiga parti ini, maka Perikatan Nasional Negeri Perak dapat menubuhkan Kerajaan Negeri Perak yang baru, dengan jumlah majoriti 32 Ahli Dewan Negeri,” katanya

Beliau berkata, dengan gabungan ini akan membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil dan mampu menjalin kerjasama erat dengan Kerajaan Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan, bagi meneruskan agenda pembangunan dan membela rakyat negeri Perak.

“Demi rakyat, kerana Allah, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan dalam barisan EXCO dan ADUN Pakatan Harapan yang telah memberi kerjasama yang baik kepada saya sepanjang menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Perak sebelum ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 11:26 AM