Muhaamad Hafis Nawawi

Sungai Buloh: Berselindung di sebalik gudang tersorok, itu helah digunakan sindiket pengedaran rokok seludup yang dipercayai bergerak aktif sejak setahun lalu bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Aktiviti didalangi beberapa individu ini bagaimanapun terbongkar selepas serbuan dijalankan menemukan ribuan kotak mengandungi 143,950 karton rokok seludup bernilai RM10.8 juta di sebuah gudang di Bukit Rahman Putra di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Sasikala Devi berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh jam 12.14 tengah malam.

Menurutnya, serbuan yang dijalankan berdasarkan maklumat dan hasil risikan itu memberkas empat lelaki berusia 23 hingga 30 tahun yang bekerja sebagai pekerja stor dan pengedar rokok seludup.

"Turut dirampas sebanyak 2,455 kotak berwarna coklat dan setiap kotak mengandungi 50 karton rokok seludup hitam serta 265 kotak mengandungi 80 karton rokok seludup putih, selain merampas dua lori dan sebuah Perodua Myvi.

"Sindiket ini dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran rokok seludup bagi kawasan Lembah Klang," katanya pada sidang media di IPD Sungai Buloh di sini, hari ini.

SASIKALA Devi (dua kiri) bersama barang rampasan ketika sidang media tangkapan dan rampasan rokok disyaki tidak bercukai kastam dalam Op Kontraban di IPD Sungai Buloh. FOTO  Aziah Azmee
SASIKALA Devi (dua kiri) bersama barang rampasan ketika sidang media tangkapan dan rampasan rokok disyaki tidak bercukai kastam dalam Op Kontraban di IPD Sungai Buloh. FOTO Aziah Azmee

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti pengedaran dalam skala yang besar berdasarkan jumlah rampasan, bagaimanapun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti lokasi kesemua rokok seludup ini dibawa masuk.

"Polis percaya masih ada saki baki ahli sindiket yang menjalankan kegiatan ini dan usaha mengesan dan memburu mereka yang terbabit sedang dijalankan.

"Siasatan dijalankan turut mendapati antara suspek yang ditahan ini adalah pengedar yang menerima tempahan menerusi media sosial untuk menjalankan aktiviti pengedaran rokok seludup ini," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 2:19 PM