Antara rokok yang dirampas PPM dalam serbuan di sebuah rumah di Klang. FOTO Ihsan PPM
Antara rokok yang dirampas PPM dalam serbuan di sebuah rumah di Klang. FOTO Ihsan PPM
Iskandar Shah Mohamed


KEGIATAN individu menyeludup dan menyimpan ribuan karton rokok di rumahnya memakan diri apabila dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) di Klang semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 46 tahun itu mempunyai dua rumah berasingan termasuk satu daripadanya dijadikan sebagai ‘port’ untuk menyimpan semua rokok seludup berkenaan.

Bagaimanapun ia berjaya dihidu pegawai dan anggota Unit Risikan PPM Pelabuhan Klang yang mematahkan cubaan suspek untuk menyeludup rokok itu menggunakan sebuah kereta 3 petang semalam.

Komander PPM Wilayah Satu Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pihaknya mengesan dan mengekori kereta Nissan Ceffiro disyaki membawa rokok seludup di pekan Kapar.

“Kereta itu kemudian berhenti di sebuah rumah di Batu Belah dan suspek ditahan ketika mahu memasuki kediaman itu.

“Pemeriksaan menemui pelbagai jenis rokok disyaki tidak bercukai dalam kereta itu namun tiada rokok ditemui dalam rumah itu.

“Semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Rosman berkata, soal siasat ke atas suspek membawa kepada serbuan di sebuah rumah di sekitar Batu Nilam 4 petang hari sama.

“Pemeriksaan menyeluruh di rumah suspek itu menemui pelbagai jenis rokok yang disyaki tidak bercukai.

“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan cukai ke atas rokok berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merampas 2,636 karton rokok yang dianggarkan RM39,248 manakala nilai cukai RM349,738.

“Kita turut merampas kereta dinaiki suspek bagi membantu siasatan dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM413,986.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 atas kesalahan memiliki, menyimpan dan menyembunyikan barangan dilarang pengimportannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 2:32 PM