Faliq Lajim


SEJUMLAH 1,400 karton rokok putih yang sedang dipunggah sembilan lelaki di Jalan Bukit Kemuning, Shah Alam, tidak sempat diedarkan ke pasaran selepas diberkas pihak berkuasa semalam.

Serbuan dijalankan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Ops Landai jam 3.30 petang yang turut menyita enam kenderaan dengan nilai keseluruhan RM412,006.

Komander Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kegiatan haram itu daripada orang awam seterusnya membuat risikan selama seminggu.

“Dalam serbuan semalam, sekumpulan lelaki itu sedang menjalankan aktiviti memindah kotak dari lori ‘bonded’ satu tan ke tiga kenderaan iaitu Toyota Innova, Proton Waja dan Persona.

Rosman menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam operasi semalam. FOTO Saddam Yusoff
Rosman menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam operasi semalam. FOTO Saddam Yusoff

“Hasil pemeriksaan ke atas 28 kotak itu, kami dapati terdapat 1,400 karton rokok putih yang dipercayai tidak bercukai. “Antaranya, Johd D-Blend sebanyak 850 karton dan John Putih (550 karton).

“Sembilan lelaki warga tempatan berusia 18 hingga 40 tahun itu turut ditahan,” katanya pada sidang media di Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, hari ini.

Rosman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati rokok itu dipercayai diseludup dari negara jiran menggunakan jalan laut sebelum diseludup ke Thailand.

“Namun dilencongkan ke negara ini terlebih dulu untuk pasaran tempatan.

“Semua barang rampasan itu dihantar ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 6:33 PM