GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seramai 31 murid Tahun Tiga sebuah sekolah di Kok Lanas di sini, diarahkan membuat Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) Covid-19 di Klinik Kesihatan Perol, hari ini.

Sumber berkata, mereka diarahkan membuat saringan itu selepas seorang murid lelaki berusia sembilan tahun yang juga rakan sekelas mereka didapati positif Covid-19 semalam.

Katanya, mereka perlu membuat saringan kerana menjadi kontak rapat kepada murid berkenaan.

"Arahan itu sudah dihebahkan kepada guru dan ibu bapa yang meminta anak-anak terbabit hadir ke klinik hari ini bermula jam 9 pagi. Ada dalam kalangan murid berkenaan yang sudah hadir ke klinik untuk membuat saringan pagi tadi.

"Murid yang belum tampil untuk membuat saringan supaya hadir membuat ujian ini dengan segera.

"Mohon kerjasama ibu bapa memandangkan cuti sekolah sudah bermula hari ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di aplikasi whatsApp meminta 31 murid sebuah sekolah di Kok Lanas tampil mengambil ujian RT-PCR Covid-19 di Klinik Kesihatan Perol.

Ia susulan selepas seorang murid lelaki yang juga rakan sekelas mereka disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.

Beliau berkata, murid yang positif Covid-19 itu susulan daripada Kluster Paloh Rambai, Ketereh iaitu kes tercetus dari majlis kenduri kahwin.

"Sekiranya ada sebarang pertanyaan, ahli keluarga atau ibu bapa murid terbabit boleh hubungi bilik gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu di talian 09-7414824," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 3:21 PM