MARIA .FOTO Mohd Roji Kawi
MARIA .FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Kuching: Seorang penjual dan 10 pembeli keputusan ujian saringan Covid-19 yang dipalsukan ditahan polis.

Difahamkan, penjual terbabit mengenakan bayaran RM50 hingga RM100 untuk mengeluarkan keputusan RT-PCR yang dipalsukan menggunakan nama sebuah klinik swasta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Maria Rasid berkata, penahanan itu susulan dua laporan polis berhubung penipuan itu dibuat Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Jabatan Ketua Menteri pada 6 dan 8 Mac lalu.

Menurutnya, bertindak atas dua laporan itu, polis menahan 11 lelaki di sekitar Kuching pada 7 dan 12 Mac.

"Polis turut merampas satu unit telefon bimbit serta beberapa keping kad sim milik salah seorang suspek yang disyaki penjual," katanya pada sidang media, hari ini.

Maria berkata, lapan suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala tiga lagi yang baru ditangkap hari ini masih ditahan bagi tindakan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati, penjual keputusan ujian Covid-19 itu menggunakan nama sebuah klinik swasta sebelum menjualnya pada harga antara RM50 hingga RM100 untuk satu keputusan RT-PCR itu.

"Penipuan dokumen keputusan ujian saringan RT-PCR Covid-19 itu serius kerana ia boleh membahayakan kesihatan orang ramai," katanya menjelaskan, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 8:33 PM